Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Julai. - Pemangku
Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian (BKK) di Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang
Damit melahirkan harapan agar penulisan cerita folklor akan lebih
banyak dihasilkan dan terus berkembang di negara ini.
Berucap
selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Bengkel Penulisan Cerita
Folklor Ke-III di Dewan Digadong, KKBS di sini, Awang Haji Mohd Abdoh
juga berharap dan ingin menyaksikan lebih banyak karya-karya yang akan
dihasilkan atau diterbitkan oleh peserta-peserta pada masa akan datang
berikutan industri kreatif penulisan folklor itu boleh didefinisikan
masih 'infant'.
Beliau
juga tertarik dengan objektif bengkel antara lain menyatakan
mengidentifikasikan cerita-cerita rakyat yang dapat diketengahkan agar
cerita-cerita rakyat tersebut dapat didokumentasi dan diketengahkan ke
masyarakat umum agar khazanah budaya warisan yang lama tercicir (cerita
rakyat) dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Selain
itu, tambahnya, ia juga dapat mendedahkan data kepada penulis dalam
sumber sekunder kepada elemen naratif dan bentuk cerita (buku).
Seramai
45 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari BKK, KKBS,
Radio Televisyen Brunei (RTB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat
Sejarah Brunei, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam
(UBD) serta peserta persendirian mengikuti bengkel selama lima hari itu
di bawah bimbingan pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti
Sastera dan Sains Sosial, UBD, Dr. Maslin bin Jukim / Jukin.
Salah
seorang peserta, Dayang Siti Nurfauzimah binti Haji Mahari dalam
ucapannya selaku wakil peserta melahirkan penghargaan terima kasih
kepada pihak penganjur secara berkolaborasi DPB, BKK dan RTB atas
peluang yang diberikan.
Sepanjang
lima hari mengikuti bengkel tersebut, peserta-peserta memperoleh ilmu
yang baharu antaranya menghasilkan sebuah skrip dokudrama yang diadakan
secara berkumpulan dan pelbagai pengetahuan yang lain. Hasil daripada
bengkel ini nanti akan dapat didokumentasikan dan diterbitkan dalam
bentuk buku oleh DBP.
Di
samping itu, InsyaaAllah, DBP juga akan bekerjasama dengan RTB untuk
menjadikan cerita-cerita folklor peserta-peserta sebagai projek animasi
yang setentunya akan mampu menjadi nilai tambah pendidikan kepada
masyarakat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam
jangka masa panjang, pencapaian bengkel tersebut nanti akan diusulkan
untuk disenaraikan di bawah United Nations Educational, Scientific and
Cultural Organization (UNESCO) sebagai langkah usaha untuk melestarikan
dan mempromosikan warisan budaya milik Negara Brunei Darussalam.
Dipetik daripada Pelita Brunei