Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bincang Tindakan Susulan Kerjasama Kesusasteraan

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Jun. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei Darussalam pagi tadi bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Sekretariat / Musyawarah Mastera 2022.

Seramai tiga orang perwakilan Mastera Brunei Darussalam menghadiri mesyuarat yang diadakan bermula pada Selasa, 21 Jun 2022 hingga Khamis, 23 Jun 2022.

Mengetuai Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri mesyuarat tersebut ialah Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku Setiausaha Mastera merangkap Ketua Perwakilan Mastera Brunei Darussalam.

Mesyuarat juga dihadiri bersama oleh dua orang pakar Mastera Brunei Darussalam, iaitu Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong dari Universiti Brunei Darussalam.

Mesyuarat yang diadakan secara fizikal di Kuala Lumpur, Malaysia itu turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Perwakilan dan ahli Negara Anggota Mastera dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Mesyuarat Peringkat Sekretariat juga diadakan bagi membincangkan tindakan susulan kerjasama kesusasteraan, iaitu menentukan tatakerja sesuatu projek; merancang pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan sastera; membincangkan kertas kerja (projek) kerjasama yang dikemukakan oleh Negara Anggota Mastera; selain membincangkan pengurusan projek / program Mastera serta melaporkan kegiatan kesusasteraan dalam mesyuarat majlis sebagai persiapan bagi pelaksanaan Sidang Ke-26 Mastera 2022 yang diadakan di Malaysia pada bulan Oktober nanti.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 6/21/2022 10:05 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 6/21/2022 10:05 AM by Nisbah Binti Hj Merusin