Majlis Penutupan/Penangguhan Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026 berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya melafazkan Penutupan/Penangguhan Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026 ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff, Ketua I Kumpulan PUTRA Seni selaku Pengerusi Bersama Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026, dan diteruskan dengan pembentangan resolusi oleh Yang Mulia Dr. Hajah Kathrina binti Haji Mohd. Daud selaku Ketua Pelapor, sekali gus menyerahkan resolusi berkenaan kepada Tetamu Kehormat Majlis. Dokumen resolusi seterusnya diserahkan kepada Yang Mulia Prof. Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua I ASTERAWANI Brunei Darussalam selaku Pengerusi Bersama Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para pembentang kertas kerja, panel forum, pengerusi sesi pembentangan dan forum serta pelapor Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026.
Dialog Teluk Ke-13 akan diadakan di Membakut, Sabah. Tarikh pelaksanaan akan dimaklumkan kemudian.