Majlis Persaraan “Setulus Bakti Seindah Kenangan” khusus bagi Yang Mulia Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus, Ketua Bahagian Perancangan Buku

Isnin, 25 Rabiulawal 1448 | 7 September 2026

Majlis Persaraan “Setulus Bakti Seindah Kenangan” khusus bagi Yang Mulia Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus, Pegawai Bahasa Kanan selaku Ketua Bahagian Perancangan Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka diadakan di Bilik Laila Muafakat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas petang tadi.

Hadir memberikan ucapan penghargaan serta menyampaikan plak kenangan ialah Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut hadir, Pemangku Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Bahagian dan Penolong-penolong Ketua Bahagian.

Pengiran Hajah Rosenani mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Istilah pada 28 Januari 1989 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Istilah pada 1 Mac 2003. Seterusnya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Bahasa pada 7 Ogos 2010 dan Pegawai Bahasa Kanan pada 2 November 2020.

Berdasarkan tempoh dan kecemerlangan perkhidmatan, Pengiran Hajah Rosenani telah dianugerahkan Pingat Kerja Lama (PKL) pada tahun 2011 dan Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) pada tahun 2012.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memberikan sumbangan dan komitmen yang tidak ternilai kepada jabatan, khususnya dalam bidang bahasa dan perbukuan sehingga diberikan amanah untuk mengetuai Bahagian Perancangan Buku.

Setelah lebih tiga dekad menabur bakti, Pengiran Hajah Rosenani akan memulakan cuti persaraan pada 14 September 2026 dan bersara wajib pada 6 Oktober 2026.