Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 April. - Siri
Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan
Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui
Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui
penstriman platform Facebook, 'DBP Brunei' dan aplikasi Zoom, di sini.
Siri
Pembentangan kali Ke-6 ini menampilkan pemakalah dari Singapura, iaitu
penulis dan penerbit Helang Books, Nor Hidayah Amin, yang juga seorang
penyelidik bebas, dipengerusikan oleh Penolong Ketua Bahagian
Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, DBP Brunei, Dayang Ruhana
binti Radin.
Kongres
kali ini mengupas tajuk, 'Dari Kota Singa, Helang Terus Menyongsong
Angin : Isu dan Cabaran Mengantarabangsakan Budaya Lokal Melalui Dunia
Penerbitan Melayu', yang membincangkan usaha-usaha pengantarabangsaan
budaya, warisan dan bahasa Melayu di Singapura melalui penerbitan
bahan-bahan dengan isi kandungan tentang dunia Melayu oleh Helang Books,
sebuah penerbit kecil bebas.
Pembentangan
turut mengetengahkan dengan lebih lanjut mengenai budaya penerbitan
buku berbahasa Melayu di Singapura, khususnya karya penulisan beliau
sendiri, selain turut menceritakan cabaran yang dihadapi juga berjaya
diatasi untuk menjadi satu nama yang diakui, dalam dunia penerbitan di
Singapura dan sejarah latar belakang ringkas mengenai penerbitan buku,
di Singapura.
Pemakalah
juga mengongsikan sejarah mengenai Pusat Penerbitan dan Percetakan di
Singapura, bermula sejak awal tahun 1800; Pendidikan Aliran Bahasa
Melayu di Singapura; Pelaksanaan beberapa dasar oleh Kerajaan Singapura
melalui tiga pendekatan ideologi dan untuk kelangsungan; Kemerosotan
Bahasa dan Budaya Melayu; dan Pencapaian Helang Books sedari memulakan
perjalanannya dalam dunia penerbitan buku, pada tahun 2010 hingga
sekarang.
Kira-kira
146 pelayar menghadiri KABSBM secara maya, yang terdiri daripada
Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab;
Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan; para pemakalah dari dalam dan luar
negara; rakan-rakan strategik DBP; juga para pencinta bahasa, sastera
dan budaya dari dalam juga luar negara.
Penyelenggaraan
KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung
bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei
Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei
(MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).
KABSBM
dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022, dengan
pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan
Rabu.
Di
samping itu, kongres ini juga, antara lain berobjektif untuk
menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat
antarabangsa juga tanah air, dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan,
ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman juga tingkat
kepakaran tertentu.
Seramai
23 pembentang makalah, yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan
20 makalah iringan, dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja
masing-masing sepanjang KABSBM ini diadakan.
Dipetik daripada Pelita Brunei