Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Cerita Klasik Melayu Terus Diperjuangkan Seiring Perkembangan Teknologi

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

- PERALIHAN wahana Cerita Klasik Melayu yang sebelumnya disampaikan dalam bentuk pertuturan, kini kepada cerita berbentuk gambar, seiring dengan perkembangan zaman teknologi, seperti media, televisyen dan internet.

 

- MELALUI media baharu itu, Cerita-cerita Klasik Melayu juga terus diperjuangkan agar sistem nilai tradisionalnya tetap kukuh, di samping untuk menarik minat generasi masa kini walaupun media hiburan kini dibanjiri dengan cerita dan filem-filem baharu dari luar negara.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 April. - Seramai 23 pembentang makalah, terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM).

Siri KABSBM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook, 'Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei' dan aplikasi Zoom, di sini.

Siri pembentangan kali ke-8 itu menampilkan pemakalah dari Indonesia, Pensyarah Institut Kesenian Jakarta, Dr. Seno Gumira Ajidarma.

Sementara itu, Pengerusi kongres, terdiri daripada Pegawai Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Dayang Rosmuliati binti Yahya.

Kongres kali ini mengupas aspek sastera, dengan tajuk 'Kebudayaan Meretas Jalan : Cerita Klasik Melayu dalam Cerita Gambar'.

Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah peralihan wahana Cerita Klasik Melayu yang sebelumnya disampaikan dalam bentuk pertuturan, kini kepada cerita berbentuk gambar, seiring dengan perkembangan zaman teknologi, seperti media, televisyen dan internet.

Melalui media baharu itu, Cerita-cerita Klasik Melayu juga terus diperjuangkan agar sistem nilai tradisionalnya tetap kukuh, di samping untuk menarik minat generasi masa kini walaupun media hiburan kini dibanjiri dengan cerita dan filem-filem baharu dari luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD); Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Majlis Belia Brunei (MBB); ASTERAWANI Brunei; dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Kongres ini juga, antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya, di peringkat antarabangsa dan tanah air, dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 156 pelayar menghadiri KABSBM secara maya, terdiri daripada, Pemangku Pengarah DBP Awang Suip bin Haji Abd. Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP; pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam serta luar negara.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/20/2022 10:34 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/20/2022 10:34 AM by Nisbah Binti Hj Merusin