Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Jalin Pertemuan Penulis Dalam, Luar Negara

Jalin pertemuan penulis dalam, luar negara 1.PNG

Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

TUTONG, Isnin, 18 April. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Sastera dan Majalah dengan kerjasama Kumpulan Putra Seni dan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei Darussalam (ASTERAWANI) melaksanakan Baca Bahana Puisi Antarabangsa 2022 bersempena dengan Hari Baca Puisi Sedunia pada hari ini melalui aplikasi Zoom dan bersiaran secara langsung melalui laman sosial Facebook 'DBP Brunei'.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang juga turut berkesudian mendeklamasi dalam segmen deklamasi Puisi Antarabangsa secara langsung.

Baca Bahana Puisi Antarabangsa merupakan gabungan antara Projek Baca Bahana dengan Deklamasi Baca Puisi Antarabangsa bersempena dengan Hari Puisi Sedunia yang diadakan setiap 21 Mac.

Tujuan projek tersebut dilaksanakan adalah bagi menjalin pertemuan dengan para penulis dari dalam dan luar negara, di samping memperingati Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun.

Seramai lapan penulis dan penggiat seni tanah air mempersembahkan rakaman deklamasi sajak dari Majalah Bahana hasil karya beberapa tokoh sastera yang kembali ke rahmatullah bagi segmen Baca Bahana Sumbangsih Seni Mengenang Kembali Permata yang Hilang, iaitu Dayang Rozina binti Haji Salim membacakan sajak 'Sepi Sendiri' karya Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut (Muslim Burmat); Awang Mohammad Khairol Nazwan bin Haji Karim membacakan sajak 'Jalan Lurus yang Abadi' karya Allahyarham Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S.); Dayang Kris Karmila membacakan sajak 'Potret Peribadi' karya Allahyarham Awang Haji Mohd. Shahri bin Pehin Orang Kaya Jurulatih Adat Istiadat Diraja Awang Haji Mohd. Hussin (Norsiah M.S); dan Dayang Lenna Norsusilanita binti Bahari membacakan sajak 'Bayang' karya Allahyarham Haji Moksin bin Haji Abdul Kadir (K. Manis).

Sementara itu, Pengiran Hajah Mumtazah binti Pengiran Haji Md. Jaafar membacakan sajak 'Lagu Rindu' karya Allahyarham Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman (Zairis M.S./P.H. Mohammad Abd Rahman); Awangku Mohd. Noor Sham @ Hidie bin Pengiran Hidup membacakan sajak 'Harapan kepada Patriotik Bangsa' karya Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar (Wijaya); Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Shuib membacakan sajak 'Lambaian Rasa' karya Allahyarham Awang Haji Masri bin Haji Idris (Marhanie K.S./Haji Masri Haji Idris); dan Awang Eddy Iswandy Ismail bin Imran membacakan sajak 'Malam Syahdu' karya Allahyarham Awang Haji Mahadi bin Haji Martasat (Mahadi R.S.).

Di samping itu, sebanyak 23 penyertaan rakan strategi sastera ikut serta bagi segmen deklamasi Puisi Antarabangsa secara langsung, antaranya dari ASTERAWANI Brunei Darussalam, Kumpulan Putra Seni, Badan Kebudayaan dan Kesenian (B2K), Alumni Program Penulisan Mastera, Kelab RAKIS Universiti Brunei Darussalam, para belia serta penggiat seni sastera, bahasa dan budaya dari dalam dan luar negara, seperti Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, China, Mesir, Itali dan Korea.

Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP; para pegawai kanan kerajaan; persatuan dan penggiat seni tanah air; serta para penulis dari dalam dan luar negara.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/20/2022 10:50 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/20/2022 10:50 AM by Nisbah Binti Hj Merusin