Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KABSBM Ketengahkan Warisan Budaya Indonesia

Berita dan Foto : Aimi Sani

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 April. - Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diteruskan lagi pada hari ini secara maya melalui penstriman platform Facebook 'Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei' dan aplikasi Zoom, pagi tadi.

Siri pembentangan kali ke-10 tersebut menampilkan pemakalah dari Indonesia, iaitu Peneliti Sastera, Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi, Nur Ahid Prasetyawan Purnomosidhi.

Kongres tersebut pula dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa, DBP Brunei, Dayang Masni binti Moktal.

Kongres kali ini mengupas aspek sastera dengan tajuk 'Status Sosial Sastra Lisan "Kalang Obong" sebagai Identitas Budaya Lokal Masyarakat di Kabupaten Kendal'.

Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah sastera lisan Kalang Obong sebagai salah satu warisan budaya yang terdapat di Indonesia.

Upacara Kalang Obong merupakan upacara membakar barang-barang milik suku kaum Kalang yang meninggal dunia sebagai bekal di alam baka.

Salah satu fungsi upacara itu dilakukan adalah untuk menunjukkan rasa tanggungjawab serta bakti keluarga untuk menghantar arwah ke alam baka.

Upacara berlangsung dalam waktu yang cukup lama dengan mengikuti tatacara dan adat-adat yang tertentu.

Seramai 100 orang pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abd. Wahab, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, para pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Kongres ini juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan para pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 orang pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/28/2022 10:39 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/28/2022 10:39 AM by Nisbah Binti Hj Merusin