Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mei. -
Pembentangan Ke-12 Siri Kongres Antarabangsa Bangsa, Sastera dan Budaya
Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa kali ini mengupas aspek sastera,
dengan tajuk 'Historisisme Baru dan Kesedaran Bangsa'.
Antara
yang dihuraikan dalam pembentangan ialah mengenai historisisme atau
kesejarahan yang boleh diandaikan sebagai satu pendekatan untuk
menjelaskan kewujudan sesuatu fenomena, termasuk idea dan kepercayaan,
khususnya amalan sosial serta budaya dengan mengkaji bagaimana sejarah
berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Perhatian
dunia luar, khususnya negara-negara barat terhadap rantau Nusantara
membuka peluang bagi kuasa-kuasa luar untuk menutup dan memalsukan
fakta-fakta keilmuan serta struktur kehidupan masyarakat Melayu masa
silam.
Selain
itu, unsur-unsur pemisah di antara Falsafah Kesejarahan Islam dengan
Barat, seperti unsur spiritualisme dan psikologi insan-Khalik yang tidak
terdapat dalam pendekatan historisisme barat turut dihuraikan.
Perbezaan
yang nyata di antara pendekatan historisisme, historisisme baharu dan
kaedah muhasabah Islam dengan tuntutan syariat, sebagai muhasabah
kesejarahan atau historisisme baharu lebih sesuai untuk diguna pakai
bagi mengembalikan tamadun agama, bangsa dan budaya, dalam sesebuah
masyarakat kepada landasan yang dituntut oleh agama Islam.
Siri
pembentangan menampilkan pemakalah dari Singapura, Pengarah Eksekutif
Asia Journalist Association-Singapore Office (AJA-SO), Dr. Norman
Suratman.
Siri
KABSBM sempena Bulan Bahasa itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa
diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook, 'Dewan Bahasa
dan Pustaka Brunei' dan aplikasi Zoom.
KABSBM
secara maya disertai oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji
Abd. Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti
Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan
strategik DBP; pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta para pencinta
bahasa, sastera dan budaya dari dalam serta luar negara.
Penyelenggaraan
KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu turut didukung
bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, antaranya Universiti Brunei
Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Majlis Belia Brunei
(MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).
Seramai
23 pembentang makalah, yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan
20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja
masing-masing sepanjang KABSBM.
Pengerusi Kongres dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP Brunei, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin.
KABSBM
dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan
pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, setiap Isnin dan Rabu.
Kongres
berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya,
di peringkat antarabangsa serta tanah air dalam upaya untuk berkongsi
pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman
serta tingkat kepakaran tertentu.
Dipetik daripada Pelita Brunei