Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mei. - Siri
Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan
Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui
Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diteruskan lagi secara maya
melalui penstriman platform Facebook, 'Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei'
dan aplikasi Zoom.
Siri
kongres kali ke-13 kali ini mengupas aspek bahasa dengan tajuk, 'Papan
Tanda di Negara Brunei Darussalam : Jawi dan Terjemahan', yang
menampilkan pemakalah dari Negara Brunei Darussalam, iaitu Pemangku
Timbalan Pengarah DBP Brunei, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak dan
Pegawai Bahasa DBP Brunei, Awang Raieham bin Mohd. Salleh serta
dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa DBP Brunei, Dayang Hajah Norati binti
Bakar.
Antara
yang dihuraikan, penggunaan tulisan Jawi yang dimestikan pada papan
tanda di setiap bangunan kerajaan dan badan perniagaan, termasuk papan
nama, kepala surat, papan kenyataan, poster, iklan, kain rentang, nama
dan tanda jalan di Negara Brunei Darussalam, seperti kenyataan dalam
Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bil. 21/1988.
Selain
itu, beberapa isu dan cabaran juga dihuraikan dalam pembentangan kali
ini, antaranya kewujudan kepelbagaian nama premis perniagaan yang
terlebih kreatif dan bercampur aduk, terutama pada nama premis
perniagaan.
Seramai
142 pelayar menghadiri siri kongres tersebut secara maya, terdiri
daripada Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin
Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS,
Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP Brunei,
Awang Suip bin Haji Abd. Wahab serta para pemakalah dari dalam dan luar
negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan,
serta para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam serta luar
negara.
Penyelenggaraan
KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini juga turut didukung
bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei
Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei
(MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).
KABSBM
dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan
pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap hari Isnin dan
Rabu.
Kongres
ini juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar
bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa serta tanah air,
dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui
dinamika pengetahuan, pengalaman serta tingkat kepakaran tertentu.
Sementara
itu, seramai 23 pembentang makalah, yang terdiri daripada tiga makalah
ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas
kerja masing-masing sepanjang KABSBM.
Dipetik daripada Pelita Brunei