Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Jun. - Kongres
Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa
(KABSBM) mengupas aspek bahasa, yang bertajuk 'Bahasa dan Ideologi
Negara : Kajian Bandingan Keberdayaan Bahasa, di Brunei Darussalam,
Indonesia, Malaysia dan Singapura'.
Siri
pembentangan kali ke-17 KABSBM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan
secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi
Zoom, menampilkan pemakalah dari Singapura, Penyelidik dan Pemerhati
Bahasa Singapura, Dr. Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz.
Kongres dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa DBP Brunei, Dayang Masni binti Moktal.
Pembentangan
mengemukakan perbincangan dan dapatan kajian bandingan terhadap
keberdayaan bangsa dan bahasa, di empat buah negara utama penutur Bahasa
Melayu / Indonesia, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan
Singapura.
Keberdayaan
bahasa itu juga dikorelasikan (hubung kait) dengan keadaan bahasa di
kawasan tertentu, penggunaan bahasa yang dipengaruhi oleh persepsi,
sikap, dasar, agama dan persekitaran.
Dapatan
daripada kajian yang dihuraikan membuktikan, bahawa kedudukan bahasa
Melayu di nusantara adalah mantap dan terus digunakan, sama ada sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa ilmu atau bahasa komunikasi luas.
Seramai
134 pelayar menghadiri KABSBM secara maya itu, terdiri daripada
Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku
Timbalan Pengarah DBP Brunei, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak;
para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP;
pegawai-pegawai kanan kerajaan; dan para pencinta bahasa, sastera serta
budaya dari dalam dan luar negara.
Dipetik daripada Pelita Brunei