Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Jun. – Negara
Brunei Darussalam (NBD) memiliki karya-karya besar, yang ditulis oleh
tokoh-tokoh sastera dan penulis-penulis tanah air yang mampu mengangkat
karya mereka merentasi sempadan global.
Selain
itu, negara juga memiliki barisan nama-nama besar sebagai tokoh atau
sasterawan, yang mengangkat tamadun bangsa Brunei ke persada serantau
dan antarabangsa.
Perkara
tersebut antara yang dinyatakan Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya
semasa Multaqa Anugerah Sastera Mastera : Memoir Muslim Burmat,
bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.
Tokoh
Sastera Brunei yang dikenang pada hari ini tambahnya, telah banyak
menghasilkan karya sehingga meninggalkan pengaruh yang besar kepada
masyarakat dan generasi seterusnya, iaitu Allahyarham Dato Paduka Haji
Muslim bin Haji Burut @ Muslim Burmat yang merupakan seorang tokoh
sastera yang cukup disegani, baik dalam mahupun luar negara kerana hasil
karya-karya beliau yang cukup hebat dengan nilai nasionalisme kepada
bangsanya.
Menyentuh
mengenai majlis apresiasi tersebut, Awang Suip berkata, ia merupakan
peluang untuk mereka berkumpul bersama bagi menzahirkan penghargaan dan
penghormatan atas jasa bakti serta sumbangan Allahyarham terhadap
perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Terdahulu
itu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil bagi Allahyarham Dato Paduka
Haji Muslim bin Haji Burut yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid
Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut.
Diikuti
dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar ristaan, pandangan
daripada penulis-penulis tanah air dan luar negara serta karya-karya
Muslim Burmat sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia penulisan
dan kesusasteraan.
Multaqa
kali ketiga itu juga mengetengahkan konsep forum, iaitu membicarakan
mengenai penglibatan dan ketokohan Allahyarham dalam dunia penulisan dan
kesusasteraan serta membincangkan beberapa karya Allahyarham daripada
panel-panel forum, yang terdiri dari Penulis Muda, Awang Syahwal Nizam
bin Haji Yani selaku Moderator; Pegawai Bahasa Kanan, DBP, Dr. Haji
Mohd. Ali bin Haji Radin (H.Mar); Pensyarah Universiti Brunei Darussalam
(UBD), Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff (Zefri Ariff
Brunei) yang juga Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011; dan
Mantan Pensyarah UBD, Awang Haji Kamis bin Haji Tuah.
Majlis
kemudian diserikan lagi dengan persembahan teater daripada Kumpulan
Putra Seni (KPS) yang mempersembahkan salah satu karya daripada Muslim
Burmat.
Pada
majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
juga menyampaikan sumbangan wakaf berbentuk barang keperluan daripada
pihak DBP khusus atas nama Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji
Burut kepada wakil Masjid Kampung Beribi, dan juga cenderamata kepada
panel forum serta moderator.
Pengungkayahan
majlis itu diharapkan akan dapat meningkatkan lagi pembangunan
kesusasteraan negara dengan melibatkan penyertaan masyarakat khususnya
para belia dan penulis tanah air dalam dunia penulisan dan kesusasteraan
kerana bidang tersebut juga turut memberikan sumbangan yang penting
dalam pembangunan negara.
Multaqa
Sasterawan Brunei sebagai projek tahunan DBP melalui Bahagian
Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, merupakan antara daya upaya
jabatan itu dalam memberikan penghargaan dan apresiasi kepada penulis
tanah air yang pernah menerima anugerah berprestij sama ada peringkat
negara ataupun serantau, iaitu didahulukan dengan Penerima Anugerah
Kesusasteraan Islam (AKI), kemudian Penerima Anugerah Sastera Mastera
(ASM) dan diikuti dengan Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The
S.E.A. Write Award).
Antara
objektif Multaqa tersebut adalah untuk mengapresiasi dan memberi
penghormatan kepada penulis-penulis tanah air yang telah menerima
anugerah-anugerah dalam dan luar negara atas jasa serta bakti mereka
dalam menyumbangkan tenaga mahupun pemikiran untuk pembangunan dan
pembinaan bangsa; mengangkat ketokohan dan kepengarangan penulis-penulis
tanah air kepada masyarakat dan generasi muda khasnya; dan
mengetengahkan dan menyerlahkan hasil karya penulis-penulis tanah air
kepada masyarakat terutamanya generasi muda.
Majlis
juga diselajurkan dengan Pembukaan Semula Kedai Buku DBP yang
dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang
diadakan di aras bawah, bangunan DBP, Lapangan Terbang Lama Berakas.
Selain
pembayaran secara tunai, Kedai Buku DBP turut menawarkan pembayaran
secara dalam talian (online), sama ada menggunakan BIBD NexGen Wallet,
BIBD QuickPay atau Swipe Card.
Genre
buku yang dijual ialah Ilmiah, Umum, Sastera, Kanak-Kanak dan Komik
selain, majalah dan jurnal terbitan DBP yang juga boleh didapati di
Kedai Buku DBP.
Waktu
beroperasi Kedai Buku DBP iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu,
8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.
Dipetik daripada Pelita Brunei