Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Jun. - Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
(KKBS) selaku Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei
Darussalam pagi tadi bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri
Mesyuarat Sekretariat / Musyawarah Mastera 2022.
Seramai
tiga orang perwakilan Mastera Brunei Darussalam menghadiri mesyuarat
yang diadakan bermula pada Selasa, 21 Jun 2022 hingga Khamis, 23 Jun
2022.
Mengetuai
Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri mesyuarat tersebut ialah Ketua
Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin
selaku Setiausaha Mastera merangkap Ketua Perwakilan Mastera Brunei
Darussalam.
Mesyuarat
juga dihadiri bersama oleh dua orang pakar Mastera Brunei Darussalam,
iaitu Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Dr.
Haji Ramlee bin Haji Tinkong dari Universiti Brunei Darussalam.
Mesyuarat
yang diadakan secara fizikal di Kuala Lumpur, Malaysia itu turut
dihadiri oleh Ketua-Ketua Perwakilan dan ahli Negara Anggota Mastera
dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Mesyuarat
Peringkat Sekretariat juga diadakan bagi membincangkan tindakan susulan
kerjasama kesusasteraan, iaitu menentukan tatakerja sesuatu projek;
merancang pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan pembinaan dan
pengembangan sastera; membincangkan kertas kerja (projek) kerjasama yang
dikemukakan oleh Negara Anggota Mastera; selain membincangkan
pengurusan projek / program Mastera serta melaporkan kegiatan
kesusasteraan dalam mesyuarat majlis sebagai persiapan bagi pelaksanaan
Sidang Ke-26 Mastera 2022 yang diadakan di Malaysia pada bulan Oktober
nanti.
Dipetik daripada Pelita Brunei