​Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Jun. - Siri
Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan
Bahasa (KABSBM) dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun
2022, dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, setiap Isnin
dan Rabu.
Sehubungan
itu, siri pembentangan kali ke-22 menampilkan pemakalah dari Indonesia,
Guru Besar, Bidang Linguistik, Universitas Mataram, Prof. Dr. Mahsun
M.S.
Kongres dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Antara lain kongres mengupas aspek kebahasaan dengan tajuk 'Menduniakan Bahasa Melayu : Peluang dan Tantangannya'.
Bahasa
Melayu merupakan salah satu bahasa dalam rumpun bahasa Austronesia yang
sangat penting kerana rekonstruksi bahasa purba Austronesia mempunyai
bukti sebagai pendukung bahasa, antara yang dihuraikan pada kongres itu.
Pembentangan
turut menyatakan, bahawa bahasa Melayu mempunyai pelbagai varian dan
penamaannya, mengikut kemajmukan penuturnya. Itu merupakan keadaan
secara ekologi, penting dalam mempertahankan dan mengembangkan bahasa
Melayu.
Bahasa
Melayu juga tidak kurang hebat, berbanding dengan bahasa Inggeris
kerana bahasa Melayu turut digunakan sebagai bahasa kebangsaan atau
bahasa nasional, dalam beberapa buah negara, termasuk di Negara Brunei
Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Pada
tahun 2015, keadaan bahasa Melayu di peringkat dunia antarabangsa
memiliki 174 pusat pembelajaran dan penyebarannya ke 45 buah negara.
Kongres
dilayari oleh seramai 161 pelayar secara maya, terdiri daripada
Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak,
para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP,
pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta para pencinta bahasa, sastera dan
budaya dari dalam dan luar negara.
Objektif
kongres, antara lain untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera
dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air, dalam upaya untuk
berkongsi pengetahuan, ilmu serta gagasan melalui dinamika pengetahuan,
pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.
KABSBM
anjuran DBP Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa
itu diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook Dewan
Bahasa dan Pustaka Brunei serta aplikasi Zoom.
Penyelenggaraan
KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu turut didukung
bersama rakan-rakan strategik DBP, Universiti Brunei Darussalam (UBD),
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan
Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI
Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).
Seramai
23 pembentang makalah, terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan dua
puluh makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja
masing-masing sepanjang KABSBM.
Dipetik daripada Pelita Brunei