Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Jun. - Institusi agama dan Bahasa Melayu memainkan peranan dalam dua cara, iaitu secara formal dan tidak formal.
Secara
formal, Bahasa Melayu diajarkan di semua institusi agama di Negara
Brunei Darussalam dan merupakan subjek wajib lulus, manakala tulisan
Jawi juga merupakan subjek teras.
Bahasa
Melayu juga disampaikan secara tidak formal melalui peraduan-peraduan
yang dianjurkan, sama ada ceramah, forum dan khutbah.
Sementara dalam aspek budaya pula, budaya adalah penting untuk memberikan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam.
Perkara
tersebut dibentangkan pada Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera
dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Brunei Darussalam Kali Ke-23 melalui Bahagian Pembinaan
dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui penstriman platform
Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan aplikasi Zoom, di sini.
Siri
pembentangan menampilkan pemakalah dari Brunei, iaitu Ra'es Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin
Haji Basar.
Kongres
dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah, Bahagian Kebudayaan dan
Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji
Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit.
Kongres
mengupas dan menghuraikan mengenai aspek bahasa dan budaya dengan tajuk
'Institusi Agama dalam Perkembangan Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu
di Negara Brunei Darussalam'.
KABSBM
dilayari oleh seramai 147 pelayar secara maya, terdiri daripada
Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), KKBS, Pengiran Haji
Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Pemangku Setiausaha Tetap
(Kemasyarakatan dan Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji
Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab;
Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak;
para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP;
pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta para pencinta bahasa, sastera dan
budaya dari dalam serta luar negara.
Penyelenggaraan
KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung
bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei
Darussalam (UBD); Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); KUPU SB;
Majlis Belia Brunei (MBB); ASTERAWANI Brunei; dan Kumpulan Putra Seni
(KPS).
KABSBM,
antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera
dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air, dalam upaya untuk
berkongsi pengetahuan, ilmu serta gagasan melalui dinamika pengetahuan,
pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu, yang dilaksanakan secara
bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022, dengan Pembentangan Kertas
Kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.
Sebanyak 23 tiga makalah iringan, termasuk tiga makalah ucaptama dibentangkan oleh 23 pembentang sepanjang KABSBM berlangsung.
KABSBM
melabuhkan tirainya dengan bacaan Resolusi, disampaikan oleh Pemangku
Timbalan Pengarah DBP selaku Setiausaha KABSBM, Dayang Hajah Sariani.
Seterusnya,
diikuti dengan Ucapan Penutup KABSBM oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang
Suip yang menyatakan, bahawa penyampaian kongres melalui platform
digital itu menjadi satu strategi yang berkesan, bagi mendekatkan lagi
masyarakat dengan ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu.
Ke
arah pemartabatan Bahasa Melayu yang menjadi jentera pada pembangunan
tamadun bangsa, KABSBM juga menjadi satu kegiatan penyebaran ilmu, yang
mampu mengukuhkan dan meningkatkan usaha mengenainya.
Dipetik daripada Pelita Brunei