
Oleh: Haniza Abdul Latif / Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Julai. - Bulan
Bahasa dianjurkan bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara dan jati diri bangsa; memupuk rasa kepemilikan bersama terhadap
bahasa Melayu; memasyarakatkan bahasa Melayu melalui keikutsertaan orang
ramai serta menggemakan dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa ke
seluruh negara.
Sehubungan
itu, Majlis Sambutan Bulan Bahasa pada tahun ini diadakan secara
hibrid, iaitu secara fizikal di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Berakas, manakala secara maya melalui aplikasi Zoom dan
penstriman langsung menerusi media sosial Facebook Dewan Bahasa dan
Pustaka Brunei.
Hadir
selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan Sambutan Bulan
Bahasa 2022, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang
Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis
Sambutan Bulan Bahasa 2022 dimulai dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah
secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohammad Hardi bin
Mahdeli, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.
Seterusnya,
bacaan Ikrar Bahasa yang dipersembahkan oleh pegawai dan kakitangan
DBP, diketuai oleh penerima Anugerah Duta Bahasa 2015, Awang Irwan Rino
bin Nordin.
Majlis
diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah DBP,
Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Majlis, yang antara
lain berkata, sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam
memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, DBP akan terus berjuang
memperkasakan bahasa Melayu.
Tambahnya,
selari dengan upaya kita beradaptasi dengan situasi masa kini, DBP juga
mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam memastikan
pemasyarakatan bahasa Melayu menembusi jangkauan luas.
Dalam erti kata ujarnya, seluruh masyarakat dan khalayak dapat turut sama menjiwai Bulan Bahasa.
Tanpa
dukungan masyarakat menurutnya, Bulan Bahasa tidak akan bergerak jauh
dan malah, peranan setiap individu itu perlu dipertingkatkan sebagai
tanggungjawab sosial.
Melestarikan
dan memperkasakan bahasa Melayu tekannya, memerlukan sifat dedikasi,
umpamanya menyerlahkan dan menguasai penggunaan bahasa Melayu yang baik
dan benar dalam media massa serta persuratan Melayu.
Penguasaan
bahasa Melayu baku/standard jelasnya lagi, perlu dikuasai sebaik
mungkin sebagai bahasa ilmu yang bernilai intelek dan berupaya
diketengahkan secara global.
Oleh
itu menurutnya, generasi penerus memainkan peranan besar dan sewajarnya
memiliki semangat, jiwa besar, serta keiltizaman yang tinggi agar mampu
menjadi perancang yang mempunyai perspektif dan sudut pandang strategi
dalam memastikan kedayatahanan dan kedaulatan bahasa Melayu.
Majlis
seterusnya disusuli dengan ucapan Perasmian Sambutan Bulan Bahasa 2022
dan Kegiatan-kegiatan Sepanjang Tahun 2022 serta Pelancaran Buku-buku
Terbaharu oleh tetamu kehormat majlis.
Sebanyak
empat buah buku baharu dilancarkan, iaitu Dinamika Bahasa Melayu Jilid
I; Istilah Kekerabatan Dialek Melayu Kedayan; Riak Bahasa Bil. 29; dan
Buku Mini Bahasa Melayu Brunei Edisi ke-9.
Majlis
juga diserikan lagi dengan persembahan Deklamasi Sajak oleh mahasiswi
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Nur Faizah binti
Mohamad Khairol Azmi, dengan sajak berjudul "Siapa Aku?" nukilan Mataim
Bakar, diikuti dengan Syarahan Bahasa Melayu berjudul "Memperkasa Bahasa
Melayu: Sebuah Perjuangan Abadi" yang disampaikan oleh Elit Budaya, Dr.
Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.
Majlis
berakhir dengan penyampaian cenderamata oleh tetamu kehormat majlis
kepada penyampai Syarahan Bahasa, para hakim peraduan dan pendeklamator
sajak.
Seterusnya,
penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Sayembara Penulisan
Novelet, Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak, dan Peraduan Menulis Buku
Bergambar.
Bagi
Sayembara Penulisan Novelet, penghormatan pertama disandang oleh Awang
Pudarno bin Binchin dengan buku berjudul 'Puteri Kukachin'; manakala
penghormatan kedua dimenangi oleh Dayang Liyana binti Haji Julay dengan
buku berjudul 'Hadiyatul Haramain'; dan penghormatan ketiga diberikan
kepada Awangku Md. Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun dengan buku
berjudul 'Su.Ria'.
Sementara
itu, bagi Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak pula, penghormatan
pertama dimenangi oleh Dayang Hajah Armah binti Haji Bair dengan buku
berjudul 'Si Belalong dengan Naga'; disusuli penghormatan kedua oleh
Dayang Norhairunissa Radhiah binti Haji Bini dengan buku berjudul 'Asal
Mulanya Kuala Belalong Ambuk Tunggal' dan penghormatan ketiga diberikan
kepada Awangku Md. Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun dengan buku
berjudul 'Pangku Basman'.
Manakala,
bagi Peraduan Menulis Buku Bergambar, penghormatan pertama diberikan
kepada Awang Muhamad Norhadi bin Ibrahim dengan buku berjudul 'Ziqri dan
Si Tenggiling'; diikuti penghormatan kedua diberikan kepada Awangku Md.
Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun dengan buku berjudul 'Nasihat Ibu
Kepada Jimin'; dan Awang Muhamad Najmuddin bin Mohammad diberikan
penghormatan ketiga dengan buku berjudul 'Kisah A, E, I, O, U'.
Tema Bulan Bahasa 2022 masih mengekalkan tema pada tahun lepas, iaitu 'Memperkasakan Bahasa Melayu'.
Turut
hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan (KKBS); Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, ketua-ketua jabatan, para
pegawai kanan, mantan Pengarah DBP, penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara (The SEA Write Award), rakan strategik DBP, aktivis bahasa,
sastera dan budaya, serta para pensyarah dan mahasiswa mahasiswi
institusi pengajian tinggi.
Dipetik daripada Pelita Brunei