Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kukuhkan Penjenamaan Penulis Dalam Karya Penulisan

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Julai. - Pembaharuan klausa perjanjian dengan Kerjasama Pejabat Peguam Negara merupakan antara inisiatif dan komitmen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di bawah Pelan Tindakan DBP 2020 - 2024 bagi mendukung bidang teras penerbitan jabatan dengan matlamat utama menjadikan DBP sebagai Penerbit Unggul Inklusif.

Pengukuhan dokumen perjanjian tersebut bertujuan untuk memastikan satu ikatan komitmen di antara penerbit dan penulis, dibuat dengan sistematik dan teratur dari segi perundangan, di mana ini membolehkan penyerahan serta penggunaan hak subsidiari dilakukan melalui proses yang sejajar dengan perundangan yang berkaitan, iaitu Perintah Hak Cipta 1999 dan pindaan tahun 2013.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab semasa Majlis Penandatanganan Perjanjian Lesen untuk Menerbitkan Karya di antara DBP - Penulis, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, di sini.

Menurutnya, kandungan perjanjian baharu menekankan aspek penyerahan dan penggunaan hak-hak subsidiari, hak cipta karya dan penerbitan, tempoh sah laku perjanjian serta obligasi kedua-dua pihak bagi menjadikan penerbitan DBP diikat melalui satu naratif yang inklusif dan dipersetujui bersama.

Di samping itu, tambahnya, kandungan perjanjian baharu itu menggalakkan penulis membeli semula karya mereka sebanyak 20 peratus pada harga diskaun 20 peratus daripada jumlah cetak, sama ada secara sekali gus mahupun secara berperingkat.

Langkah itu, jelasnya, bertujuan bagi meningkatkan serta mengukuhkan penjenamaan penulis dalam karya penulisan mereka, di samping membantu jabatan ini, dalam mempromosi dan membarigakan buku penulis.

Pemangku Pengarah DBP, seterusnya berkata, bagi meningkatkan lagi ekosistem pengurusan penerbitan, terutama dalam merealisasikan pemberdayamajuan penerbitan, DBP sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara bagi menindaklanjuti pendrafan perjanjian lesen untuk menerbitkan semula buku, artikel dalam jurnal dan majalah, sama ada untuk diterjemah, diterbitkan semula dan penerbitan alih wahana oleh pihak ketiga untuk manfaat bersama kepada kedua-dua pihak, iaitu penerbit - penulis.

Pada majlis itu, seramai 44 penulis hadir menandatangani perjanjian tersebut.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, diwakili oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; dan Ketua Bahagian Penerbitan dan Pemasaran DBP, Awang Mohd. Azurin bin Othman selaku saksi.

Beberapa buah buku berkenaan akan dilancarkan semasa Pesta Buku Brunei 2022, yang akan diadakan pada Julai ini.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/9/2022 2:33 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/9/2022 2:33 PM by Nisbah Binti Hj Merusin