Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Memperkasa Pelestarian Pantun Melayu Brunei

Memperkasa pelestarian Pantun Melayu Brunei 2.PNG

Oleh: Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto: Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

- MELIHAT kepada kepentingan pantun dalam kehidupan masyarakat Melayu, UNESCO telah menetapkan pantun sebagai Intangible Cultural Heritage yakni Warisan Budaya Tidak Ketara

- PENGIKTIRAFAN tersebut memangkin kesedaran masyarakat Melayu untuk terus melindungi dan melestarikan pantun

- OBJEKTIF bengkel untuk memupuk semangat cintakan seni dan budaya bangsa; menanamkan minat seni penciptaan pantun dalam kalangan generasi muda; meningkatkan kemahiran, daya fikiran dan kreativiti generasi muda dalam mencipta pantun


BERAKAS, Isnin, 18 Julai.- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan mengungkayahkan 'Pantun Sebagai Khazanah Bangsa: Bengkel Pantun Melayu Brunei' sebagai salah satu pengisian bagi menggemakan lagi kegiatan Festival Sastera dan Seni Budaya Melayu Brunei bersempena Sambutan Bulan Bahasa 2022.

Bengkel tersebut juga merupakan kegiatan pemula bagi festival sebagai usaha pendedahan dalam seni berpantun kepada golongan muda.

Pantun Sebagai Khazanah Bangsa: Bengkel Pantun Melayu Brunei yang disertai seramai 34 orang peserta, terdiri daripada para belia dan pelajar-pelajar serta mahasiswa mahasiswi institusi pengajian tinggi tersebut diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas dan Balai Raya Orang Kaya Sura Haji Tuba bin Taliff, Kampung Senukoh, Labu, Daerah Temburong.

Sehubungan itu, majlis perasmian bagi bengkel tersebut diadakan petang tadi di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan ucapan serta menyempurnakan perasmian bengkel ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam ucapannya menjelaskan bengkel ilmu pada kali ini adalah cukup bermakna, di mana para peserta berpeluang mendapat bimbingan ilmu seni pantun daripada pembimbing bengkel, Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, seorang tokoh yang memiliki kepakaran, pengalaman dan pengetahuan yang cukup luas dalam seni berpantun.

Pantun itu, jelas beliau lagi, diibaratkan sebagai salah satu nadi warisan bangsa yang melambangkan jati diri orang Melayu.

Keunikan dan keistimewaan pantun itu pada dasarnya, menurutnya dapat dilihat menerusi penciptaannya yang begitu akrab dengan alam.

Alam jelasnya lagi dijadikan sebagai simbol dan latar kehidupan masyarakat Melayu sehingga lahirnya sebuah ungkapan, 'Alam Terkembang Menjadi Guru'.

"Malah melihat kepada kepentingan pantun dalam kehidupan masyarakat Melayu, UNESCO telah menetapkan pantun sebagai Intangible Cultural Heritage yakni Warisan Budaya Tidak Ketara yang secara tidak langsung pengiktirafan ini memangkin kesedaran masyarakat Melayu untuk terus melindungi dan melestarikan pantun agar ia dapat diwarisi secara turun-temurun. Jika tidak ada usaha untuk memperkasakan kelestariannya, keluhuran warisan yang dimiliki ini ditakuti lama-kelamaan akan semakin terlupakan.

"Dan, alhamdulillah tindakan DBP dalam pengupayaan pelestarian budaya Melayu Brunei ini terus dikukuhkan dengan melaksanakan pelbagai projek penyelidikan, kegiatan dan pendokumentasian. Salah satu upaya tersebut ialah mengadakan kegiatan Pantun Sebagai Khazanah Bangsa, iaitu kemuncak daripada projek Penyelidikan Pantun Melayu Brunei di Negara Brunei Darussalam dengan memulakan langkah bimbingan melalui Bengkel Pantun Melayu Brunei. Bengkel ini akan menjadi salah satu medan yang cukup penting dalam melahirkan pemantun-pemantun sebagai pelapis dan penerus untuk mewarisi kemahiran seni berpantun di negara ini," tambahnya lagi.

Hasil daripada bengkel ini nanti, pembimbing bengkel akan mengenal pasti empat kumpulan yang layak untuk diserap menjadi peserta Pantun Sebagai Khazanah Bangsa: Sayembara Berbalas Pantun yang akan diadakan pada 9 Ogos 2022.

Antara objektif bengkel tersebut dilaksanakan adalah untuk memupuk semangat cintakan seni dan budaya bangsa; menanamkan minat seni penciptaan pantun dalam kalangan generasi muda; meningkatkan kemahiran, daya fikiran dan kreativiti generasi muda dalam mencipta pantun.

Antara pengisian bengkel ialah Pengenalan pantun Melayu (empat kerat); Teknik mencipta pantun/berbalas pantun; Bimbingan pantun; Sesi menghalusi pantun; dan Bincang-bincang pantun.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/23/2022 3:06 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/23/2022 3:06 PM by Nisbah Binti Hj Merusin