Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto: Ak. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
-
PENGISIAN Pesta Buku Brunei (PBB) 2022, bertujuan untuk memupuk dan
menyemai perkembangan kognitif, mengembangsuburkan industri kreatif, di
samping untuk membangunkan kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi.
-
KOMITMEN penganjuran PBB 2022, merupakan subjek terpenting DBP, dalam
menjayakan pembinaan dan pengembangan akal budi, dan pembudayaan
literasi maklumat bagi masyarakat dan penduduk di negara ini.
-
PBB diadakan dalam rangka menggema dan menyemarakkan Bulan Bahasa
dengan mengusung tema 'Mari Membaca'. Tema ini menggarisbawahi komitmen
untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mencintai dan
mendaulatkan bahasa Melayu serta disinergikan dengan budaya membaca dan
peningkatan ilmu pengetahuan.
-
OBJEKTIF penganjuran PBB 2022 ialah bagi menggemakan dan menyemarakkan
Bulan Bahasa; sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit,
toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya
apresiasi terhadap buku; memperkasa dan memartabatkan karya tempatan
serta menggalakkan pertumbuhan industri kreatif Brunei.
BERAKAS, Sabtu, 23 Julai. - Pesta
Buku Brunei (PBB) 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks
Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas akan dimeriahkan dengan pelbagai
kegiatan yang disusun sepanjang 10 hari penganjurannya, bermula 22
hingga 31 Julai 2022.
Pelbagai
aktiviti yang disediakan termasuk kuiz spontan; bengkel; pementasan;
peraduan mewarna; sketsa; temu dan sapa bersama penulis; mari bercerita
dan pelbagai kegiatan lainnya.
Sehubungan
itu, pagi tadi berlangsung Majlis Perasmian PBB 2022 yang disempurnakan
oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin
Pengiran Haji Ali Hassan.
Hadir
sama pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan
Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin
Hashil Al-Maskari; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik
Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; Timbalan Setiausaha Tetap
(Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah,
ketua-ketua jabatan, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan
para penulis.
Pemangku
Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya pada
majlis tersebut antara lain berkata, pelbagai kegiatan yang dirancang
sepanjang 10 hari, adalah berkaitan dengan kemahiran berfikir, kemahiran
insaniah dan bimbingan.
Pengisian
acara ini secara amnya jelasnya, bertujuan untuk memupuk dan menyemai
perkembangan kognitif, mengembangsuburkan industri kreatif, di samping
untuk membangunkan kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi.
Pada
masa yang sama tambah beliau, komitmen penganjuran PBB 2022, merupakan
subjek terpenting DBP, dalam menjayakan pembinaan dan pengembangan akal
budi, dan pembudayaan literasi maklumat bagi masyarakat dan penduduk di
negara ini.
Pada
majlis tersebut, sebanyak 23 judul buku terbaharu dilancarkan antaranya
termasuk buku kerjasama penerbitan DBP dan Politeknik Brunei di bawah
Skim Terbit dan Beli Semula, iaitu Modul Pendidikan Islam Edisi 1.
Turut
dilancarkan ialah buku Lakastah Mewarna yang menghimpunkan koleksi
lukisan hitam putih mercu tanda di negara ini, dan sebuah novel
terjemahan dalam bahasa Inggeris berjudul Running with the Seasons (Lari
Bersama Musim) hasil karya Muslim Burmat.
Tetamu
kehormat seterusnya menyampaikan buku terbaharu dan dokumen perjanjian
kepada para penulis, diikuti dengan penyampaian penghargaan Rakan Niaga
Proaktif 2021 kepada Pustaka Graduan.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada rakan niaga yang mencatat prestasi jualan buku DBP yang menggalakkan.
Majlis
juga diteruskan dengan penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2021 dan
sebanyak empat buah buku layak menerima Hadiah Buku Terlaris 2021, iaitu
Tarsilah Brunei: Wasilah Ketakhtaan Kesultanan Brunei (Tahun 1659 –
1828 Masihi) (Jilid III) yang ditulis oleh Allahyarham Pehin Jawatan
Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr.) Haji Awang
Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka
Haji Awang Umar dan diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei; Buku bertajuk
'Broken Dreams: An Anthology of Brunei Heartfelt Stories' ditulis oleh
Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos dan diterbitkan
oleh Qasrun Nafis Publishing House; buku 'Bintang The Cosmocat & The
Star Twins' yang dihasilkan oleh Dr. Aammton Alias terbitan M Content
Creations; dan buku 'Dang Urai dan Sumbui-sumbui' yang ditulis oleh
Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya, yang diterbitkan oleh DBP.
Majlis
diakhiri dengan persembahan tiga buah lagu kanak-kanak tradisi, iaitu
Bangkawat, Kikik Putus dan O Kanak-Kanak yang disampaikan oleh Dayang
Kamisahnor binti Hashim yang diiringi oleh lapan orang pemain muzik
daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS.
Mulai
tahun ini, PBB diadakan dalam rangka menggema dan menyemarakkan Bulan
Bahasa dengan mengusung tema 'Mari Membaca'. Tema ini menggarisbawahi
komitmen untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mencintai
dan mendaulatkan bahasa Melayu serta disinergikan dengan budaya membaca
dan peningkatan ilmu pengetahuan.
Para
peserta PBB pada tahun ini terdiri daripada institusi kerajaan, iaitu
KKBS; Pusat Sejarah Brunei; Jabatan Muzium-Muzium Brunei; Jabatan Mufti
Kerajaan; Perpustakaan Islam Brunei Darussalam; Pusat Da'wah Islamiah;
Jabatan Perkhidmatan Pos; Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Manakala, perwakilan luar ialah Kesultanan Oman dan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Toko
buku dan syarikat tempatan yang turut menyertai PBB 2022 ialah Best
Eastern; Mindtrex Academy; M Content Creations; Al-Tahirah; Marleina
Enterprise; Pustaka Remaja; Syarikat Hasbee; Muslim Generation; Pusat
Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah, dan Reading and Literacy Association.
Antara
objektif penganjuran PBB 2022 ialah bagi menggemakan dan menyemarakkan
Bulan Bahasa; sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit,
toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya
apresiasi terhadap buku; memperkasa dan memartabatkan karya tempatan
serta menggalakkan pertumbuhan industri kreatif Brunei.
Orang
ramai dialu-alukan berkunjung ke PBB 2022 yang dibukakan bermula jam
8.30 pagi hingga 10.00 malam setiap hari kecuali Jumaat dibuka pada jam
9.00 hingga 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga 10.00 malam.
Dipetik daripada Pelita Brunei