Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

BENDERA BESAR BERKIBAR MEGAH DI IBU NEGARA

DSC_4990.jpg

DSC_4971.jpg

DSC_4943.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Februari 2018 - Bendera besar Negara Brunei Darussalam berkibar megah di kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di sini, memupuk semangat patriotik rakyat dan penduduk, untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan NBD yang ke-34 yang saban tahun diraikan setiap menjelangnya 23 Februari.

Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berukuran 3.7 x 7.3 meter itu juga sekali gus menandakan permulaan acara-acara keraian bagi sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan negara tahun ini.

Sehubungan itu, Upacara Menaikkan Bendera diadakan di sini dengan kehadiran Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.

Majlis seterusnya menyaksikan anggota-anggota Tentera Laut Diraja Brunei berarak masuk bagi penyerahan dan penerimaan Bendera Besar daripada tetamu kehormat majlis.

Penyempurnaan upacara menaikkan bendera besar negara diiringi dengan nyanyian Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan' oleh seramai 78 pelajar dari kumpulan koir Sekolah Menengah Berakas dengan iringan Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei yang juga diteruskan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan seterusnya menyampaikan bendera-bendera dan poster-poster sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-34, 2018 kepada pegawai-pegawai daerah dari seluruh negara.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Ahli-Ahli Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, wakil-wakil jabatan kerajaan dan swasta serta para Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

Dengan berkibarnya bendera besar di ibu negara itu menyeru rakyat dan penduduk untuk sama-sama menaikkan bendera kebangsaan dan bendera masing-masing bagi mereka yang dikurniakan gelaran serta di semua bangunan kerajaan dan premis-premis perniagaan.

Attachments
Created at 2/19/2018 10:48 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/19/2018 10:55 AM by Lee Chin Foo