Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
Pemenang Sayembara Deklamasi Puisi, Uji Kreativiti Pantun Berkait Terima Hadiah

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengungkayahkan Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi dan Uji Kreativiti Pantun Berkait, bersempena dengan Sambutan Bulan Bahasa 2020 yang berlangsung baru-baru ini di Bilik Patih Barbai, Tingkat 1, DBP, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Peraduan Sayembara Deklamasi Puisi diadakan menggunakan wadah elektronik, iaitu pemaparan peraduan menggunakan video dan audio melalui saluran maya di laman media sosial Facebook (Bahagian Sastera dan Majalah) dan Instagram rasmi DBP (@dbpbrunei).

Sajak-sajak yang dipertandingkan bersumber daripada buku-buku dan majalah terbitan DBP yang mengangkat tema kebangsaan dan kemerdekaan.

Tiga panel hakim yang dilantik bagi menilai aspek-aspek seperti berikut iaitu pengucapan, penghayatan dan kreativiti di mana panel hakim terdiri daripada Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff selaku Ketua Hakim, Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit dan Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin.

Peraduan diadakan bertujuan untuk mengukuhkan semangat cintakan bangsa dan bahasa melalui sajak, meraikan sambutan Bulan Bahasa 2020, mengangkat martabat dan mengembangmajukan bahasa dan Sastera Melayu khususnya sastera tanah air. Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam menghargai, mencintai bahasa dan Sastera Melayu, di samping sebagai apresiasi terhadap karya-karya penulis puisi tanah air.

Pertandingan Deklamasi Puisi terbuka kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, meliputi semua lapisan masyarakat, kerajaan dan swasta, persatuan-persatuan penggerak sastera, bahasa, sejarah dan budaya berpandukan peraturan penyertaan iaitu terbuka kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas. Dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori 'A' (Lelaki) dan Kategori 'B' (Perempuan).

Johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kategori 'A' bagi Lelaki ialah Awang Mohammad Khairol Nazwan bin Haji Karim yang membawa tajuk sajak, 'Narasi Negeriku' karya oleh A.Hashim Hamid, naib johan pula disandang oleh Awang Mohammad Rahimi bin Muhammad Fadillah yang membawa tajuk sajak, 'Mandiri Cita-Cita Merdeka' karya HJR dan tempat ketiga pula, dimenangi oleh Awang Rasli bin Taram yang membawakan tajuk sajak, 'Kasih Meniti Usia' karya HJR.

Seterusnya, johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kategori 'B' bagi Perempuan ialah Dayang Hajah Armah binti Haji Bair yang membawakan tajuk sajak 'Manusia Mardeka' karya Adi Rumi. Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Dayang Hajah Hajidah binti Haji Abd. Wahab yang membawakan tajuk sajak 'Tanggungjawab' karya Eyuman dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayang Suraya binti Haji Julaihi yang membawakan tajuk sajak Patriot Sejati karya Adi Rumi.

Manakala, Uji Kreativiti Pantun Berkait merupakan kegiatan e-Sastera yang dilaksanakan pembarigaannya dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.

Peraduan tersebut merupakan peraduan mencipta pantun berkait empat kerat dengan tema 'Bahasa Melayu Bahasa Kita' yang dibukakan kepada warga Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke atas.

Tujuan peraduan tersebut diadakan adalah sebagai usaha mengangkat dan memartabatkan tradisi penulisan pantun khususnya pantun berkait dengan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah kepada generasi baharu yang ingin menghasilkan Pantun Melayu seiring dengan perkembangan teknologi pada masa sekarang.

Seramai 29 peserta telah ikut serta peraduan tersebut dan tiga panel hakim telah dilantik untuk menilai iaitu Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, Pengiran Haji Aji bin Pengiran Haji Tahir dan Awang Haji Jawawi bin Haji Ahmad.

Hasil daripada penilaian hakim, telah sepakat memilih para pemenang peraduan iaitu di tempat pertama dimenangi oleh Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar, tempat kedua, Awang Haji Mariat bin Haji Abdullah, ketiga dimenangi oleh Dayang Maisalamah binti Rajab dan pemenang sagu hati pula diberikan kepada Mudin@Noorshamsuddin bin Haji Md. Yassin, Dayang Hajah Noorlelawaty binti Haji Md. Yassin dan Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup.

Masing-masing menerima wang tunai, sijil penghargaan dan buku serta majalah terbitan DBP. Majlis penyampaian tersebut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan DBP, para peserta, hakim dan pegawai dan kakitangan DBP.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 9/15/2020 3:15 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 9/22/2020 3:07 PM by Nisbah Binti Hj Merusin