
[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad - Penerangan
Foto: Pg Suhaimi bin Pg Othman - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Ogos 2018 - Amiruddin Haji Md. Amir membuktikan kehebatannya dengan menjuarai Lumba Basikal Brunei Grandprix 2018 sejauh 127 kilometer bagi Kategori Elite dengan menerima wang tunai BND800 berserta medal, sekali gus mengangkat pasukannya, UPCT untuk memenangi BND1000.00 bagi Kategori Berpasukan.
Mengisi tempat kedua bagi Kategori Elite ialah Abdul Hadrie Morsidi, diikuti di tempat ketiga, Mohammed Luq @Azmi.
Bagi Kategori Berpasukan, naib juara disandang oleh Pasukan Belait Cycling Club dan tempat ketiga dipegang Pasukan Bros Randonnee Cycling Project.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Perlumbaan sejauh 127 kilometer dibukakan pada dua kategori, iaitu Elite dan Masters, manakala bagi Kategori Veteran Lelaki 'A' dan 'B', Junior dan Terbuka Lelaki serta Kategori Wanita 100 kilometer, ia bermula dan berakhir di Kompleks Tenis Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Selain menawarkan hadiah secara berpasukan, perseorangan para pelumba bagi Elite dan Masters juga berpeluang merebut hadiah bagi Jaguh Bukit dan Pecutan.
Mark Walker muncul juara bagi Jaguh Bukit, sementara itu, Jaguh Pecutan dirangkul Amiruddin Haji Md. Amir.
Dalam Kategori Terbuka Lelaki 100 kilometer dimenangi oleh Bakar Wahab menerima wang tunai BND400.00; Kategori Junior Lelaki 100 kilometer milik Arif Rafie Amir Hamzah menerima wang tunai BND400.00 dan Kategori Wanita 100 kilometer disandang oleh Nur Amah Nadhirah juga menerima wanga tunai BND400.00.
Sementara itu, Kategori Veteran Lelaki 'A' (50 ke atas) 100 kilometer diraih Rozaine Haji Ratu dengan menerima BND400.00 dan Veteran Lelaki 'B' (55 ke atas) 100 kilometer, milik Zainal Arfan Dato Paduka Haji Ahmad juga menerima wang BND400.00.
Tetamu kehormat juga menerima cenderahati yang disampaikan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul 'Ali Yil-Kabier bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku penaja utama.

Sepuluh peratus daripada kutipan yuran kejohanan akan disalurkan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan ia merupakan salah satu daripada sumbangan kemasyarakatan pihak penganjur.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul 'Ali Yil-Kabier juga menyampaikan derma kepada wakil Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan, Awang Haji Ahmad bin Haji Abd. Rahman.
Brunei Cycling Grand Prix 2018 anjuran Persekutuan Basikal Brunei Darussalam (BDCF) dengan kerjasama A Works Event Management bersama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Acara diadakan bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018.


