Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Dua karya sastera di'bedah'

‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

 bedahkarya.png

BERAKAS, Khamis, 5 Mac. - Pantaran Sastera merupakan salah satu jenama kegiatan sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diselenggarakan oleh Bahagian Sastera dan Majalah.

Projek tersebut menjadi tanda aras sastera Brunei dan medan perkumpulan penulis / penggiat seni sastera tempatan sebagai tempat pertemuan penulis / penggiat seni sastera.

Sehubungan itu, pagi tadi Pantaran Sastera DBP 2020 sempena Pesta Buku Brunei 2020 menganjurkan Bedah Karya terhadap dua buah karya sastera terbitan DBP iaitu Kumpulan Puisi Bacalah Laut hasil karya Sosonjan A. Khan dan Kasut Tumit Tinggi Ayla hasil karya Nur Hamizah Samihon yang mengambil tempat di Bilik Hijau 1 dan 2, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Karya-karya tersebut diulas dan dibincangkan secara analitis oleh dua orang pembicara karya terdiri daripada Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak dan Pengiran Haji Amirul Amin bin Pengiran Haji Jamaluddin yang merupakan pakar, pengkaji dan penyelidik sastera.

Kumpulan Puisi Bacalah Laut mengandungi 85 buah tajuk yang digarap melalui suara hati penulis wanita. Ia dihasilkan melalui ketajaman dan pengamatan di sekeliling dengan memberikan idea-idea yang bernas, menyelitkan nasihat dan peringatan yang dapat dijadikan pemikiran masyarakat.

Puisi yang terkandung dalam buku ini sarat dengan permainan estetik dan makna yang inspiratif, seperti jelas pembicara karya Dayang Hajah Sariani yang mengulas karya kumpulan puisi ini sarat dengan ekspresi dan mudah difahami, iaitu luahan perasaan atau gagasan pemikiran yang dipancarkan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Tambahnya, terdapat beberapa jenis ekspresi di dalam kumpulan puisi tersebut antaranya ekspresi sedih dalam sajak 'Ubat atau Beras'; ekspresi reda dalam sajak 'Selalu Ada Cinta'; ekspresi geram dalam sajak 'Gunung Berapi'; ekspresi kasih dalam sajak 'Menjunjung Kasih', 'Permata di Tampuk Negara', 'Tiara' dan 'Bidadari Diana' serta ekspresi kasih dan rindu dalam sajak 'Buat Seorang Mama' dan 'Buat Seorang Bapa'.

Juga terdapat ekspresi Rindu seperti yang terdapat di dalam sajak 'Pada Suatu Waktu' dan 'Titian', dan ekspresi kagum dalam sajak 'Perempuan dan Luka', 'Kunamakan Engkau Wanita Perkasa', 'Sahabat', 'Seorang Wanita', dan 'Bacalah Laut'.

"Selain itu dalam karya kumpulan puisi ini juga terdapat Pantun Kedayan dan beberapa judul karya yang bersumberkan alam antaranya Matahari Petang, Terbenamnya Matahari, Desa Pinggir Laut, Garis Cerah di Ufuk Senja, Kenawai Dari Hulu, Tsunami di Hatinya dan banyak lagi," jelas beliau.

Sebagai kesimpulannya terang beliau lagi, terdapat unsur feminisme yang tinggi dalam hasil karya tersebut dengan berjaya mengadun alam, flora dan fauna, selain turut mempunyai gaya bahasa yang menarik seperti simile, personafikasi, metafora, anaphora dan perulangan, dan banyak menggunakan simbol bagi menterjemahkan gelodak emosi atau batin penulis.

Manakala novel Kasut Tumit Tinggi Alya pula memfokuskan perbincangan tentang Hikmah dalam kehidupan dan Kaitan hikmah kehidupan Ayla dengan Model Belia Brunei Cemerlang, jelas pembedah karya kedua, Pengiran Haji Amirul Amin bin Pengiran Haji Jamaluddin.

Kasut Tumit Tinggi Alya menceritakan mengenai perjalanan kehidupan Alya yang melalui pelbagai pengalaman dan peristiwa yang menjadikan bukti jerih payah, kekuatan dan kecekalan akan berakhir menjadi sesuatu kebanggaan.

Pada sesi bedah karya tersebut, pembedah karya turut menyentuh beberapa aspek di dalam novel tersebut antaranya menerusi tema dan persoalan, yang mana novel tersebut secara keseluruhan bertemakan Hikmah dalam Kehidupan namun memfokuskan persoalan tentang kejayaan Alya mencapai cita-citanya, kepentingan menjaga silaturahim dalam keluarga, nilai persahabatan dengan sahabat karibnya yang tiada tandingan, ketabahan dan kesabaran Alya dalam menghadapi ujian dan mendepani rintangan hidupnya dan sebagainya.

"Antara persoalan lain yang menjadi penekanan ialah sikap berbaik sangka sesama manusia, usaha kuat merupakan tangga mencapai kejayaan, pemupukan minat kreativiti Alya, kasih sayang dan cinta yang dilukiskan melalui watak Alya kepada manusia dan haiwan, reda atas ketentuan Ilahi dan mengajarkan tentang bersedekah itu merupakan amalan mulia," jelas beliau.

Pengiran Haji Amirul Amin juga turut mengulas tentang aspek lain seperti sudut pandangan dan teknik penulisan, aliran dan latar, dan watak-watak.

Attachments
Created at 3/7/2020 8:59 PM by Muhammad Zulfadhli Bin Hj Abd Hamid
Last modified at 3/7/2020 8:59 PM by Muhammad Zulfadhli Bin Hj Abd Hamid