Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Tiga karya penyair tempatan dikupas

​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

karya.png

BERAKAS, Rabu, 4 Mac. - Seminar Bedah Karya mengumpulkan medan penulis dan penggiat seni sastera tempatan sebagai tempat pertemuan penulis / penggiat seni sastera untuk membincangkan dan menganalisis hasil-hasil karya seni.

Sehubungan itu, pagi tadi Akademi UF menganjurkan Seminar Bedah Karya 'Penyair 3 Serangkai' (Badaruddin H.O, Adi Rumi, Yahya M.S) sempena Pasta Buku Brunei 2020 yang berlangsung di Bilik Bengkel 2, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Karya-karya 'Penyair 3 Serangkai' (Badaruddin H.O, Adi Rumi, Yahya M.S) diulas dan dibincangkan secara analitis oleh tiga orang pembicara karya yang merupakan pakar, pengkaji dan penyelidik sastera terdiri dari Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah; Dr. Haji Morsidi bin Haji Mohammad dan Penolong Profesor Kanan, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

Terdahulu, Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim dalam Bedah Karyanya membentang dan mengulas buku mengenai 'Negara Zikir' hasil karya Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, atau lebih dikenali sebagai 'Adi Rumi'.

Menurut beliau, buku Negara Zikir itu mengandungi tujuh bahagian atau tajuk kecil iaitu Pendidikan Zikir; Ekonomi Zikir; Sistem Zikir; Sosial Zikir; Adat Istiadat Zikir; Undang-undang Zikir; dan Pertahanan Zikir yang memperlihatkan jalan fikiran pengarang yang jelas dan terarah semasa menulis puisi panjang tersebut.

Di samping itu, Puisi Negara Zikir jelasnya dianggap sebagai sebuah teks akademik mengenai Negara Zikir yang disampaikan melalui puisi panjang dengan gaya bahasa personal yang mudah difahami dan berkesan.

Anggapan tersebut adalah berdasarkan beberapa ciri antaranya isi dan bentuknya bertunjangkan Al-Quran dan Al-Hadis; mempunyai catatan kaki yang merupakan salah satu ciri buku ilmiah; mempunyai tajuk-tajuk kecil bagi memperdalamkan pembicaraan satu-satu topik yang bertujuan untuk memperluas dan memberikan kefahaman tentang Negara Zikir; terdapat teks lain dimasukkan misalnya Hukum Kanun Brunei, Pak Pandir, Perang Kastila, Umar bin al-Khattab dengan panglimanya dan lain-lain; menampilkan Gaya Bahasa seperti menyampaikan syarahan, perbualan, dakwah dan dialog; menggunakan pengulangan pada kata, frasa dan ayat yang berfungsi sebagai penekanan pengucapan; menggunakan istilah atau kata-kata yang memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca; bersifat personal dengan menggunakan aku dan kau; dan juga menyoal pembaca.

Namun, Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim dalam pembentangannya mengetengahkan karya Negara Zikir itu dari perspektif Talbiyah (pendidikan) yang mengkehendaki pemeliharaan, misalnya memelihara pendidikan itu sendiri dengan menguatkan dasar dan meluruskan sistemnya kerana pendidikan itu adalah nyawa kehidupan.

Di sini menurut beliau, pengarang menjelaskan bahawa dasar yang baik itu adalah dasar zikir (yang dimaksudkan dengan istilah 'mendongak ke langit') dan sistem yang lurus adalah sistem zikir yang bererti melakar, melaksana dan memakai semua panduan dan etika yang tidak bertentangan dengan hukum syarak dan aspirasi bangsa.

"Pengarang yakin kedua-dua dasar ini akan menjadikan kita maju kerana ia telah diajar oleh Maha Pencipta melalui kalam dan pemberian-Nya," ujar beliau.

Manakala pendidikan yang berupa penambahan ilmu jelas beliau, tentunya dilihat dari segi penukaran, dari sesuatu yang sudah lama diamalkan kemudian diganti dengan sesuatu yang baru selari dengan ajaran Islam dan Pendidikan adalah peningkatan atau pertumbuhan, yang mana sesuatu yang melebihi daripada sesuatu yang adalah diperkirakan sebagai peningkatan atau pertumbuhan misalnya dari segi sistem demokrasi yang dibanggakan pada masa ini sebenarnya sistem demokrasi yang ditunjangi oleh Islam.

Di akhir puisi, jelas Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim lagi, pengarang telah menyatakan harapan yang optimis bagi mewujudkan Negara Zikir dengan acuan sendiri yang melambangkan keunikan, jati diri bangsa Melayu Brunei yang berlainan daripada negara-negara lain di dunia ini.

Sementara itu, buku "Surat-surat Kemerdekaan" hasil karya Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya, atau nama penanya 'Yahya M.S' dikupas dan dibentangkan oleh Dr. Haji Morsidi bin Haji Mohammad.

Pada pembentangan tersebut, Dr. Haji Morsidi berpendapat bahawa karya Kumpulan Puisi Surat-Surat Kemerdekaan didapati lebih didominasi oleh puisi-puisi yang membawa persoalan patriotisme, di mana sebahagian lagi adalah puisi-puisinya mengutarakan persoalan jati diri, dan terdapat juga beberapa puisi patriotisme yang juga mengungkapkan nilai-nilai Islam dan jati diri.

Antara kumpulan puisi yang menjadi tumpuan beliau ialah puisi 'Memperingati Perjalanan Dua Puluh Musim', 'Jalan Yang Panjang Menuju Siang', 'Layar Kemerdekaan' dan 'Pertanyaan'.

Jelas beliau berdasarkan pembicaraan yang diutarakan dapat dikatakan bahawa persoalan patriotisme dan jati diri yang diungkapkan oleh Yahya M.S. dalam buku kumpulan Puisi Surat-Surat Kemerdekaan adalah merupakan pemikiran yang kebanyakannya diadun berdasarkan pengalaman beliau yang hidup pada beberapa zaman iaitu dari zaman Jepun, zaman ketika Brunei di bawah naungan British dan zaman selepas kemerdekaan yang mana dengan demikian puisi-puisi yang terungkap mempunyai kekuatannya tersendiri.

Puisi-puisi yang mengutarakan persoalan patriotisme dan jati diri dalam Surat-Surat Kemerdekaan ini tambahnya, mengemukakan dua penekanan yang berbeza iaitu pertama, puisi-puisi yang lebih menekankan persoalan patriotisme dan semangat kebangsaan; dan kedua ialah lebih menekankan jati diri, di mana ini tergantung kepada mesej utama yang ingin disampaikan oleh penyair, Yahya M.S.

Kesimpulannya menurut beliau, penyair banyak menggunakan dialek Brunei dalam puisi yang terkandung dalam kumpulan puisi ini terutama puisi yang membawa persoalan jati diri, dan yang berkaitan dengan nilai budaya dan warisan.

"Penggunaan dialek Brunei ini memperkuat lagi puisi-puisi yang diungkapkan kerana ada beberapa bahagian dalam puisi beliau harus menggunakan dialek Brunei supaya menepati makna yang ingin disampaikan," Dr. Haji Morsidi lagi.

Manakala, buku 'Koleksi Puisi Episod - Episod SI AWANG' karya Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Osman, atau lebih dikenali sebagai 'Badaruddin H.O', dianalisis dan diulas oleh Penolong Profesor Kanan, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

Seminar Bedah Karya selain bertujuan untuk mengapresiasi, evaluasi dan mendalami sesebuah karya itu, ia juga untuk mengenalkan dan mengangkat penulis dan karyanya kepada masyarakat.

Attachments
Created at 3/7/2020 9:07 PM by Muhammad Zulfadhli Bin Hj Abd Hamid
Last modified at 3/7/2020 9:07 PM by Muhammad Zulfadhli Bin Hj Abd Hamid