MAJLIS PELANTIKAN MENTOR DAN PENYERAHAN MENTI PROGRAM MENTOR MENTI KRITIKAN SASTERA
Sabtu, 2 Rabiulawal 1448 | 15 Ogos 2026
Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengadakan Majlis Pelantikan Mentor dan Penyerahan Menti Program Mentor-Menti Kritikan Sastera 2026 bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut hadir Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka serta para pegawai DBP.
Dalam ucapan alu-aluan, Yang Mulia Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah selaku Pengerusi, berharap dengan adanya kesinambungan program bagi tahun 2026 dapat memperluas usaha melahirkan pengkritik sastera yang bukan sahaja mampu menghasilkan esei kritikan berkualiti, malah terus menyumbang kepada majalah, jurnal dan penerbitan buku serta terlibat dalam pembentangan ilmiah dan perkembangan kesusasteraan di Negara Brunei Darussalam.
Bagi penyelenggaraan kali kedua, Yang Mulia Dr. Maslin bin Haji Jukim/Jukin sekali lagi dilantik selaku mentor. Melalui bimbingan yang dilaksanakan, para menti akan diberikan pendedahan dalam bidang penulisan kritikan sastera bagi memperkukuh ilmu, memperhalus pemikiran dan meningkatkan mutu penulisan.
Majlis turut disusuli dengan taklimat program serta penandatanganan perjanjian antara mentor dan para menti sebagai tanda komitmen terhadap pelaksanaan program. Pengungkayahan ini diharap dapat membentuk komuniti pengkritik sastera yang aktif dan berterusan, sekali gus memperkukuh budaya ilmu dan tradisi kritikan sastera di Negara Brunei Darussalam.