Majlis Perasmian Sambutan Hari Mastera
Sabtu, 16 Rabiulawal 1448 | 29 Ogos 2026
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Mastera Brunei Darussalam dengan kerjasama Organisasi Alumni Program Penulisan Mastera (OPERA) peringkat negara mengungkayahkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Mastera di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas. Majlis diadakan bagi memperingati penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) serta memperkukuh kerjasama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat serantau. Majlis turut disiarkan secara langsung melalui media sosial rasmi Facebook DBP Brunei.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang seterusnya menyempurnakan perasmian Hari Mastera dan pelancaran media sosial rasmi Instagram OPERA peringkat negara.
Ucapan alu-aluan majlis disampaikan oleh Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah DBP merangkap Pemangku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan rasa kesyukuran terhadap muafakat Mastera yang membuktikan keutuhan kerjasama serantau melalui pelbagai projek kesusasteraan yang berimpak tinggi sejak penubuhannya pada tahun 1995.
Kemuncak acara ialah Lafaz Perasmian Sambutan Hari Mastera dan Pelancaran Media Sosial Rasmi Instagram opera_brunei.bn oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis turut didukung dengan Rakaman Ucapan Perutusan daripada Pengerusi dan Ketua Negara Anggota Mastera, iaitu Yang Mulia Bapak Hafidz Muksin, Kepala Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa merangkap Ketua Mastera Indonesia, Yang Berbahagia Datuk Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Mastera Malaysia dan Yang Mulia Dr. Azhar Ibrahim, Timbalan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura merangkap Pengerusi Mastera Singapura.
Majlis diteruskan dengan Syarahan Mastera yang disampaikan oleh Yang Mulia Prof. Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Anggota Sidang (Pakar) Mastera Brunei Darussalam bertajuk “Mastera: Wadah Kesusasteraan Serantau, dari Piagam kepada Perkembangan Sastera Melayu-Indonesia”.