Majlis Perasmian Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026
Jumaat, 23 Rabiulawal 1448 | 4 September 2026
Majlis Perasmian Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026 anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan PUTRA Seni berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan sekali gus melafazkan perasmian Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026.
Turut hadir, Yang Mulia Prof. Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam, Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yang Mulia Awang Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff, Ketua 1 Kumpulan PUTRA Seni selaku Pengerusi Bersama Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026.
Dialog ini disertai oleh para penulis, penggiat sastera, bahasa dan budaya di sekitar Wilayah Teluk khususnya di seluruh Nusantara. Dialog diadakan sebagai wadah pertemuan, pertukaran pemikiran dan pengukuhan jaringan sastera serantau antara para penulis dari Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak.
Dialog mengangkat tema “Merentas Akar dan Sempadan: Kesusasteraan, Identiti dan Realiti Sosial Teluk Brunei.”