PERTANDINGAN PERMAINAN TRADISI TILU-TILAN SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-80 TAHUN BAGI DAERAH BELAIT

Ahad, 3 Rabiulawal 1448 | 16 Ogos 2026

Pertandingan Permainan Tradisi Tilu-Tilan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun bagi Daerah Belait telah diadakan sebagai salah satu usaha untuk mengetengahkan dan memelihara warisan permainan tradisi negara.

Majlis ini telah dihadiri oleh Tetamu Kehormat, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan A serta Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lumut Kawasan 1, 2 dan 3 dengan kerjasama Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampung Pandan.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk mengetengahkan permainan tradisi sebagai salah satu warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah dan identiti masyarakat. Di samping itu, usaha ini turut bertujuan untuk mengangkat, memelihara serta memperkenalkan permainan tradisi kepada generasi muda agar khazanah budaya terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Semoga penganjuran program seumpama ini akan terus diperkasa sekali gus menyumbang kepada kesinambungan dan kelestarian warisan budaya Negara Brunei Darussalam.