Rabu, 28 Safar 1448 | 12 Ogos 2026

Program Penulis Muda 2026: Bengkel Penulisan Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka telah melabuhkan tirainya petang tadi di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hadir selaku Tetamu Khas Majlis Penutupan ialah Yang Mulia Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, sekali gus menyampaikan cenderamata kepada pembimbing dan sijil kepada 19 peserta program.

Pelaksanaan bengkel ini memberikan ruang kepada para peserta untuk mengembangkan idea serta menghasilkan karya yang lebih tersusun, kreatif dan berkualiti. Sesi perbincangan, latihan penulisan dan perkongsian pengalaman bersama pembimbing merupakan antara pendekatan yang digunakan bagi membantu peserta memahami proses penghasilan sesebuah novel secara lebih sistematik.

Sejak mula dianjurkan pada tahun 2019 hingga 2025, program ini berjaya membimbing seramai 224 orang penulis muda menerusi tujuh siri pelaksanaan. Melalui pelbagai genre bengkel penulisan kreatif yang diungkayahkan, para peserta berpeluang mendalami teknik penulisan kreatif, memperkukuh kemahiran berkarya serta memperoleh bimbingan secara langsung daripada pembimbing yang berpengalaman.